>> 5 Terkini :

Thursday 30 July 2015

PENYINGKIRAN TS MUHYIDDIN - DS NAJIB MENGENEPIKAN KEHENDAK AKAR UMBI UMNO



Mungkin DS Najib lupa bahawa TS Muhyiddin berada di jawatan Timbalan Perdana Menteri adalah disebabkan kedudukannya sebagai Timbalan Presiden UMNO, lantas membolehkan beliau memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri. Tanpa mandat daripada akar umbi UMNO mungkin TS Muhyiddin Yassin tidak dapat berada di kedudukan sedemikian. Begitu jugalah dengan kedudukan DS Najib sebagai Perdana Menteri adalah juga disebabkan bahawa beliau dipilih oleh ahli UMNO untuk jawatan Presiden UMNO.

Kini TS Muhyiddin diketepikan oleh DS Najib. Apakah akar umbi UMNO akan berdiam diri dengan tindakan DS Najib sedemikian? Apakah ahli UMNO sudah boleh diperkotak-katikan begitu sahaja sehinggakan ahli UMNO sudah tidak ada maruah lagi untuk mempertahankan tokoh yang dipilih oleh mereka. Ini bukan bermakna bahawa TS Muhyiddin tidak boleh diketepikan tetapi seharusnya ‘diketepikan’ oleh ahli UMNO sendiri dan bukan oleh DS Najib yang pada dasarnya boleh diketepikan juga sekiranya ahli UMNO merasakan bahawa beliau sudah tidak layak lagi menduduki jawatan Presiden UMNO dan Perdana Menteri. Itulah hakikat sebenarnya jika UMNO mengikuti lunas demokrasi sebenarnya.

Sekalung tahniah dan syabas diucapkan oleh rakyat Malaysia kepada TS Muhyiddin Yassin dan DS Shafie Afdal kerana berani mempertahankan prinsip perjuangan dengan menentang apa yang dirasakan tidak kena yang telah dilakukan oleh kepimpinan negara berkait dengan isu IMDB. Sekurang-kurangnya masih ada juga rupanya ‘species’ UMNO yang masih mahu mempertahankan prinsip perjuangannya kerana mempertahankan negara yang tercinta ini.

Kenyataan TS Muhyiddin Yassin memberikan gambaran sedemikian. Katanya,’Kecuali dalam isu 1MDB, saya mempunyai prinsip dan pendirian saya sendiri dalam mempertahankan hak rakyat, nama baik parti dan kepentingan negara. Jika kerana pendirian saya dalam isu ini menyebabkan saya digugurkan daripada kabinet maka saya redha’

Seluruh dunia kini memperkatakan tentang IMDB. Negara Malaysia cukup ‘terkenal seantero dunia’ ( meminjam kata-kata P.Ramlee) kini bukan kerana kejayaannya memerangi rasuah dikalangan pemimpin negara dan bukan juga disebabkan berjaya menghapuskan kegiatan memperdagangkan manusia. Tetapi Malaysia sudah terkenal disebabkan ‘kehebatan’ pemimpinnya ‘mensonglap’ wang negara. Seluruh dunia sudah tahu. Selagi tidak dijelaskan dan dikemukakan penafian dengan menunjukkan bukti yang sahih, maka pemimpin Malaysia akan dilabel oleh dunia sebagai sebuah negara yang pemimpinnya mengamalkan rasuah yang bukan kepalang.

Jikalau dulu kita sering memperkatakan tentang bagaimana Presiden Marcos dari Filipina menggunakan wang negara dengan sewenang-wenangnya tanpa ‘segan silu’, dan bagaimana isterinya Imelda ‘berpesta’ menggunakan wang titik peluh rakyat untuk ‘menghias’ dirinya dengan intan berlian dan kasut yang berbagai jenama, maka kini perhatian dunia tertumpu ke negara kita Malaysia pula. Seluruh dunia ‘mentertawakan’ gelagat kita. Seolah-olah kita sudah memecahkan rekod yang dipegang oleh Suharto dari Indonesia dan mungkin juga sudah berjaya memecahkan rekod yang dipegang oleh Louis XVI dan isterinya Marie Antionette dari Perancis dalam Kurun ke 18 dulu. Mungkin.

Rakyat Malaysia kini seolah-olah menyerahkan kepada ahli UMNO untuk membuat penentuan tentang nasib pemimpinnya dan seterusnya menentukan jatuh bangunnya negara Malaysia. Samada nasib TS Muhyiddin ataupun nasib DS Najib adalah berada di tangan ahli UMNO yang memberikan mandat kepada mereka untuk menerajui UMNO yang kononnya memperjuangkan bangsa, agama dan negara. DS Najib tidak harus dengan sewenang-wenangnya mengenepikan TS Muhyiddin sebagai Timbalan Presiden UMNO dan DS Shafie Afdal sebagai Naib Presiden UMNO kerana kedua-dua mereka dipilih dengan cara terhormat oleh ahli-ahli UMNO.

Sekiranya DS Najib memerlukan mandat baru untuk dipilih sebagai Presiden UMNO dan seterusnya sebagai Perdana Menteri maka seharusnya beliau mengadakan Persidangan Agung UMNO secara tergempar untuk menentukan kedudukannya yang sah. Dan dengan berbuat demikian barulah rakyat akan melihat kepimpinan UMNO dan kepimpinan negara berada di atas landasan demokrasi yang benar-benar tulin.
Pemecatan TS Muhyiddin dan DS Shafie Afdal bukan merupakan isu kecil, apatah lagi yang diperjuangkan oleh mereka ialah isu yang membabitkan kewangan dan maruah negara. Mereka sedar bahawa pengorbanan yang mereka lakukan adalah untuk kesejahteraan rakyat dan negara dan diatas landasan sedemikianlah mereka mempertaruhkan jawatan yang mereka pegang.

Apakah ahli UMNO akan sanggup membiarkan mereka ‘keseorangan’ dalam memperjuangkan bangsa dan negara yang merupakan juga perjuangan parti UMNO semenjak zaman berzaman.

Entahlah……..

abuhassanadam
29 Julai 2015

No comments:

Popular Posts