>> 5 Terkini :

Sunday 12 April 2015

Perangai politik buruk presiden PAS

 – Hafiz Ahmad
Published: 12 April 2015 8:45 PM


Saya bersemangat menulis artikel ini setelah saya membaca status Mufti Perlis Dr Maza di Facebook beliau. Beliau kecewa melihat sikap PAS sejak akhir-akhir ini seakan-akan tidak boleh dikritik atas nama kepimpinan ulama.

Demokrasi negara akan hancur jika kepimpinan PAS tidak boleh dipersoalkan malah Dr Maza menyamakan kepimpinan ulama yang tidak dipersoal dalam PAS sama seperti syiah. Jenama kepimpinan ulama dijajakan sebegitu murah ke sana sini semacam produk kecantikan wanita.

Jenama ini paling kerap digunakan semasa pemilihan PAS yang lepas bertujuan merebut jawatan dalam PAS. Calon yang bertanding cuba sedaya upaya menampakkan diri mereka daripada golongan ulama. Ustaz setaraf guru tajwid pun mengaku mereka golongan ulama. Ustaz yang baru beberapa tahun balik belajar dari Timur Tengah pun tumpang sekaki mengaku mereka golongan Ulama.

Jenama yang semakin dibenci anak muda ini meleret sampai ke krisis menteri besar Selangor. Untuk memperkuatkan lagi jenama usang ini perkataan 'walak' ataupun Bahasa Melayunya adalah taat. Pada saya walak' dalam PAS adalah walak' membabi buta, walak' membawa rebah. Ahli PAS dibasuh otak mereka persis program Biro Tata Negara supaya walak' kepada kepimpinan ulama. Mana-mana ahli atau kepimpinan yang tidak patuh kepada kepimpinan ulama akan dilabel barua Datuk Seri Anwar Ibrahim, pendokong liberal dan penghina ulama.

Sebelum ada'pewalak' dan pentaksub Hadi Awang yang menuduh saya sebagai anti ulama, anti ustaz, anti golongan agama, golongan sekular perlu saya tegaskan di sini yang saya hanya tidak suka kepada politik presiden PAS dan saya amat menghormati allahyarham Datuk Nik Aziz Nik Mat. Politik buruk presiden PAS sedang dan akan menghancurkan PAS dan Pakatan Rakyat (PR) jika beliau masih lagi menjadi presiden. Teguran terhadap presiden PAS sudah bermula lama sebelum PRU13. Ahli akademik Prof Dr Aziz Bari sudah berkali-kali menegur presiden PAS dan tindak tanduk politik beliau. Mengambil kira apa yang berlaku hari ini menunjukkan presiden PAS masih tidak berubah.

Sokongan bukan Islam yang begitu kuat sebelum PRU13 sudah jatuh merudum. Orang bukan Islam sudah tidak lagi menghormati presiden PAS. Perkembangan ini saya lihat di ruangan komen portal-portal berita popular di mana jika ada berita mengenai presiden PAS kita dapat lihat Hadi dicemuh hingga ke tahap menggunakan bahasa kesat oleh pengguna media sosial bukan Islam.

Mereka berasa dikhianati oleh PAS. Tetapi yang peliknya jika ada berita mengenai Tok Guru Nik Aziz kita dapat lihat pelbagai pujian dan sanjungan diberikan masyarakat bukan Islam. Kehilangan Tok Guru juga disambut dengan rasa penuh hiba dan sedih masyarakat bukan Islam. Media sosial dibanjiri dengan komen-komen menghargai jasa Tok Guru yang dilakukan sepanjang hidupnya.

Kaum bukan Islam turut merasa kesedihan kehilangan Tok Guru. Kaum India melihat Tok Guru seperti Mahatma Ghandi, kaum Cina melihat Tok Guru sebagai tokoh perpaduan dan keamanan. Adalah tidak tepat jika dikatakan kritikan terhadap Hadi sebagai anti ulama, anti Islam. Kalau tidak mesti semua ulama akan dicemuh. Adakah presiden PAS sedar perkara ini? Atau beliau hanyut dikelilingi pewalaknya yang kaki bodek.

Sudah banyak kerosakan akibat tindakan politik tidak cerdik yang dilakukan presiden PAS masih ada lagi ahli PAS yang berdiam diri dan hanya berpeluk tubuh membiarkan kerosakan terus membarah. Integriti Hadi mula tercalar apabila idea kerajaan perpaduan dengan Umno tercetus selepas gabungan pembangkang menang besar PRU12 pada 2008. Tok Guru adalah orang paling lantang menentang usaha penggabungan PAS dengan Umno. Usaha yang digerakkan Timbalan Presiden PAS Nasharuddin Mat Isa melalui jalan belakang tanpa mendapat kelulusan Jawatankuasa PAS Pusat dikecam Nik Aziz sehingga beliau berasa begitu amat marah dan memberi amaran kepada Nasharuddin supaya jangan buat sampah dalam PAS.

Beliau menyuruh Nasharuddin masuk Umno kalau ingin meneruskan idea kerajaan perpaduan. Saya juga berasa hairan mengapa hanya Nasharuddin saja yang ditegur tapi tidak Hadi kerana beliau juga antara dalang yang mencetus idea kerajaan perpaduan. Isu ini menyebabkan 10 ahli Parlimen PAS terpaksa membuat kenyataan bersama di Parlimen yang ditandatangani mereka menolak sama sekali sebarang idea penggabungan dengan Umno dan berikrar akan terus bersama PR.

Saya membuat kesimpulan mungkin kerana dasar hormat beliau terhadap presiden PAS Tok Guru tidak mahu bertelagah dengan Hadi. Jadi, hanya Nasharuddin saja yang ditegur Tok Guru. Saya yakin Hadi mendapat mesej di sebalik teguran Nik Aziz terhadap Nasharuddin.

Politik buruk Hadi meleret sampai ke PRU13 di mana beliau secara unilateral menandatangani watikah pencalonan beberapa kerusi yang bukan milik PAS menyebabkan berlaku pertandingan 3 penjuru. Watikah pencalonan kebiasaannya ditandatangani setiausaha agung parti iaitu Datuk Mustafa Ali. Tetapi Hadi tanpa merujuk PAS Selangor menandatangani watikah calon PAS.

Kerusi bertindih yang paling mencuri tumpuan adalah di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Damansara di mana kerusi itu sepatutnya ditandingi calon PSM Dr Nasir Hashim yang bertanding mempertahankan kerusi milik PR di bawah lambang PKR. Akibat tindakan politik 'genius' Hadi, PR hilang satu kerusi yang sepatutnya boleh dimenangi secara mudah. Sabotaj Hadi kepada PR memberi imej buruk terhadap PAS. Parti Islam PAS menjadi parti yang paling tidak boleh dipercayai dan parti 'tikam belakang kawan'.

Selepas berjaya menghuru-harakan PR berkenaan isu pembahagian kerusi, Hadi bergerak meneruskan kerja sabotajnya. Kali ini mangsa seterusnya Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga 'designated prime minister' jika PR menang Putrajaya. Bukan menjadi rahsia sejak PRU10 pada 1999 lagi jika gabungan pembangkang menguasai kerajaan pusat, Anwar akan dilantik menjadi perdana menteri.

Perkara ini ditegaskan sendiri bekas Presiden PAS allahyarham Datuk Fadzil Nor yang menyatakan jika Barisan Alternatif waktu ketika itu menang PRU10 Anwar akan dilantik menjadi perdana menteri. Apa yang berlaku dan didedahkan Rafizi Ramli dalam forum Krisis MB Selangor di Dewan Perhimpunan Cina begitu mengejutkan ramai pihak termasuk AJK PAS Pusat iaitu Hanipa Maidin yang juga salah seorang panel dalam forum tersebut.

Rafizi mendedahkan 2-3 minggu sebelum PRU13 Hadi bersama Datuk Dr Haron Din, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Mustapa datang berjumpa dengan Anwar menyatakan mereka ingin melantik Tan Sri Tengku Razaleigh Hamzah menjadi perdana menteri andai kata PR memenangi kerajaan pusat selepas PRU13. Politik gila apa ini? Melantik seseorang di luar PR menjadi perdana menteri. Saya tidak tahu jika Hadi mempunyai masalah peribadi dengan Anwar sehingga keputusan politik yang saya dan ramai penyokong PR anggap keputusan politik tidak waras ini diambil. Hadi membelakangi partinya sendiri.

Menurut Hanipa keputusan ini tidak pernah dibawa ke dalam mesyuarat AJK PAS Pusat. Kalau dibawa sudah tentu beliau dan pimpinan yang lain akan menentang. Ini bermakna, Hadi sekali lagi secara unilateral membuat keputusan tanpa melalui proses musyawarah. Secara senyap-senyap 'gerombolan serban' ini cuba menikam belakang Anwar. Jikalau allahyarham Fadzil masih hidup dan beliau tahu perbuatan' gerombolan serban' ini, sudah pasti mereka akan dimarahi. Dalam perlembagaan PAS, presiden tidak mempunyai kuasa veto membuat keputusan sesuka hati. Hadi dan Dr Haron perlu diheret dan dihadapkan ke Jawatankuasa Disiplin parti kerana saya yakin mereka berdua ini adalah kepala keputusan politik kurang waras ini dibuat.

Politik buruk presiden PAS berterusan selepas PRU13 bila mana PKR ingin menukar menteri besar Selangor kerana Tan Sri Abdul Khalid Ibrahimmempunyai masalah integriti dan diganti dengan Anwar. Anwar dijangka bertanding Pilihan Raya Kecil DUN Kajang selepas Adun Kajang meletak jawatan untuk memberi laluan kepadanya. Sudah dipersetujui semua parti komponen PR, kerusi menteri besar Selangor milik PKR. Pulau Pinang daripada DAP, Kedah, Terengganu dan Kelantan (PAS). Jika PR menang di negeri Johor, menteri besar Johor juga akan datang daripada wakil PAS. Banyak negeri yang akan mempunyai menteri besar PAS jika PR dapat menguasai negeri tersebut. Tapi malangnya Anwar tidak layak bertanding selepas Mahkamah Rayuan menjatuhkan hukuman bersalah terhadapnya.

Saya amat pelik dengan keputusan politik Hadi. Khalid, parti dia sendiri tidak menyokong dia, dan DAP juga tidak menyokong dia kekal sebagai menteri besar dan mahu dia ditukar. Yang presiden PAS beria-ria sangat menyokong Khalid ini pasal apa? Beliau sanggup membelakangkan parti dia sendiri semata-mata menyokong Khalid. Hadibseolah-olah sengaja mencari gaduh dengan PR.

Politik jenis apa ini? Beliau kata PAS tak pelahap jawatan MB Selangor tetapi mengapa nama-nama yang dihantar kesemuanya daripada PAS? Timbalan presiden PAS dan AJK PAS Pusat tidak tahu menahu senarai nama yang dihantar Hadi. Ini bercanggah dengan keputusan Mesyuarat AJK PAS Pusat pada 17 Ogos, 2014 yang bersetuju menghantar nama Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail dan Azmin Ali. Hadi membelakangi mesyuarat parti dia sendiri dan bertindak secara sendirian. Sebab ini sahaja sudah cukup mengheret beliau ke Jawatankuasa Disiplin parti. Akibat tindakan politik tidak cerdik presiden PAS, kuota exco PAS dikurangkan daripada 4 kepada hanya 3 Exco. Keputusan ini dibuat sebagai hukuman kepada PAS.

Masa depan parti Islam PAS di bawah kepimpinan beliau semakin kelam. Ketidakupayaan beliau memimpin menyebabkan PAS kini bergerak ke belakang menjadi PAS seperti 1980-an. Golongan bukan Islam semakin menjauhi PAS. Keputusan beberapa kawasan PAS yang tidak mencalonkan beliau untuk jawatan presiden sebaliknya mencalonkan Datuk Husam Musa dan Ustaz Ahmad Awang untuk mencabar beliau bagi penggal seterusnya adalah manifestasi ketidakpercayaan ahli akar umbi terhadap kepimpinan beliau. Hadi secara berterusan menimbulkan masalah dalam PR. Sebab itu DAP memutuskan hubungannya dengan Hadi. Sebab utama mengapa beliau masih bertahan disebabkan status beliau sebagai ulama bukan sebab beliau seorang pemimpin politik yang hebat.

PAS perlukan perubahan kepimpinan drastik jika mahu kekal relevan dalam politik Malaysia. Perkembangan terbaru PAS yang mencalonkan tokoh selain Hadi untuk menggantikan presiden adalah tindakan 'revolutionary' yang tidak pernah berlaku sepanjang sejarah PAS. Presiden PAS perlu dicabar dalam pemilihan parti akan datang jika beliau tidak mahu berundur. Saya secara peribadi ingin melihat Husam mencabar Hadi untuk jawatan presiden PAS. – 12 April, 2015.

* Penulis ialah pembaca The Malaysian Insider.

* Ini ialah pendapat peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan The Malaysian Insider.

- See more at: http://www.themalaysianinsider.com/rencana/article/perangai-politik-buruk-presiden-pas-hafiz-ahmad#sthash.IdveWQpx.dpuf

No comments:

Popular Posts