>> 5 Terkini :

Monday 23 March 2015

Apa hukumnya antara Hudud dan ponteng parlimen dan tidak menjalankan tugas sebagai pemimpin?



Hari ini kecoh perihal hukum hudud.

Teringat pada tahun 2012, saya berdiskusi secara 'online' dengan Tun Dr Mahathir Mohamad, apabila beliau menyatakan bahawa hukum hudud akan merugikan orang melayu/orang Islam.

Perbincangan kami lebih menjurus kepada auntentiknya hudud di sisi Islam - melalui perbahasan memastikan kesohihan hadith - dan perlaksanaannya.

Saya sehingga hari ini tegas menyatakan bahawa hukum hudud ini ialah sebuah mekanisme yang Allah SWT gariskan untuk kebaikan manusia.

Namun ianya hanya akan memberikan kebaikan jika ia dilaksanakan dengan adil dan saksama sebagaimana ajaran Allah SWT.

Hukum hudud bukan kayu magik. Jalankan hudud, terus sifar jenayah. Jalankan hudud, terus negara makmur. Bukan begitu. Hudud adalah pelengkap kepada sebuah pentadbiran. Namun jika pentadbiran itu sendiri korup, pendidikan dan kebajikan rakyat tidak dijaga, maka amalkan hukum hudud pun takkan membawa apa-apa kelebihan. Bahkan, hukum hudud akan menjadi perisai pemerintah zalim, dan cemeti kepada marhaen.

Saya tegaskan kepada Tun pada tahun 2012 itu bahawa Hudud perlu dilaksanakan kepada para pemimpin terlebih dahulu dan tidak boleh ada yang terkecuali. Sultan-sultan dan raja-raja, Perdana Menteri, Menteri-menteri Besar, menteri-menteri, para penguasa, VIP-VIP dan sebagainya, tidak patut ada yang terkecuali daripadanya.

Rasulullah SAW bersabda bahawa jika anaknya Fatimah mencuri, baginda sendiri akan memotong tangan puterinya itu. Menandakan hudud perlu dijalankan tanpa kompromi, terhadap semua golongan dan lapisan masyarakat.

Rakyat pula perlu punya pendapatan yang cukup, makanan yang cukup, serta diberikan pendidikan dan kefahaman, agar jenayah yang mereka lakukan bukan kerana kecapekan ekonomi atau kejahilan(lantas ia menjadikan jenayah mereka adalah salah kerajaan, bukan salah penjenayah).

Sebab itu juga, bila ada pihak menyatakan bahawa 'kemajuan negara bukan prioriti, tetapi akhirat/hukum Allah ialah prioriti mereka' pada saya adalah golongan yang tidak memahami. Golongan yang memisahkan dunia dan akhirat. Sedangkan sebenarnya dunia dan akhirat itu perlu seiringan. Allah SWT menciptakan kita untuk mentadbir bumi ke arah kemakmuran, bukan kehancuran. Kemakmuran itu juga antara syaratnya perlaksanaan hudud.

Kita boleh lihat bagaimana Umar Al-Khattab menangguhkan hukum hudud kala musim rakyatnya kesusahan. Dan hudud itu sendiri bukan pertama yang turun di dalam Islam. Ia turun lewat, ada pelbagai perkara lain perlu disempurnakan terlebih dahulu.

Jika tidak, hudud akan menjadi mimpi ngeri buat rakyat marhaen.

Maka jika kefahaman sebegini boleh diwujudkan, jika itu semua boleh dijamin, hudud akan melengkapkan perjalanan sebuah negara menjadi negara yang adil, yang maju dan terkehadapan insyaAllah. Bukan kerana masyarakat hidup dalam ketakutan akan 'hukum Tuhan'. Namun merasai betapa 'hukum Tuhan' menjaga kemakmuran mereka agar berterusan dan berkekalan. Bukan dirompak oleh tangan-tangan jahat.

Muhasabah.

No comments:

Popular Posts