>> 5 Terkini :

Wednesday 26 November 2014

DAP vs Pas: Isunya, Hadi tak jadi 'rubber stamp'

Timmy Say


RAMAI yang terpinga-pinga mengapa DAP terus menekan Presiden Pas dalam isu kehadiran di dalam mesyuarat Pakatan Rakyat.

Betul ke kehadiran Tuan Guru Abdul Hadi di dalam mesyuarat dapat menyelesaikan masalah Pakatan Rakyat?

Umum mengetahui, Pas tidak bersetuju dengan langkah Kajang.

Apakah kehadiran Tuan Guru di dalam mesyuarat boleh mengelak langkah Kajang daripada terjadi kerana tiada konsensus? Sudah tentu tidak.

Sebab PKR akan (dan telah terbukti) mengambil langkah untuk meneruskan rancangan tersebut tanpa perbincangan. “Itu kerusi PKR. Ikut suka PKRlah kalau kita nak adakan PRK untuk membolehkan Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding. Tak perlu persetujuan Pas mahupun DAP. Bantahan mereka pun tak guna. Pas dan DAP hanya perlu sokong sahaja.”

Jika mesyuarat PR diadakan untuk Langkah Kajang, percayalah kehadiran pemimpin DAP dan Pas hanyalah sebagai ‘rubber stamp’ kepada keputusan PKR untuk mengosongkan Dun Kajang.

Bagaimana pula dengan cadangan untuk menukar Tan Sri Khalid Ibrahim sebagai MB Selangor?

Apakah kehadiran Tuan Guru di dalam mesyuarat PR dapat mengelakkan PKR daripada meneruskan agenda mereka untuk menggantikan Abdul Khalid atas menghormati konsensus yang tidak dapat dicapai kerana Pas tidak bersetuju dengan langkah itu?

Sudah tentu tidak. Ini pun sudah terbukti bagaimana PKR mengambil langkah memecat Abdul Khalid daripada PKR untuk memaksa DAP dan Pas membuat keputusan untuk memilih pengganti kepada Abdul Khalid.

Seterusnya, apakah kehadiran Tuan Guru di dalam mesyuarat PR dapat menyebabkan mengubah kedegilan PKR untuk hanya mencalonkan Presidennya Datin Seri Wan Azizah untuk menggantikan Abdul Khalid meskipun tiada konsensus dicapai untuk mencalonkan Wan Azizah sahaja sebagai calon tunggal untuk kerusi MB Selangor?

Sudah tentu tidak. Dan ini terbukti sekali lagi apabila dua Adun Pas dipujuk untuk menandatangani surat akuan bersumpah untuk menyokong Datin Seri Wan Azizah sebagai calon tunggal menggantikan Abdul Khalid untuk satu situasi tercipta di mana Pas dipaksa menerima keputusan itu walaupun tiada konsensus pada asalnya.

Jika Pas mengambil sikap konfrontasi seperti DAP sejak awal Langkah Kajang dengan sentiasa menegaskan bahawa tiada konsensus untuk menukar MB Selangor, apakah yang akan terjadi hari ini?

Tapi kerana mengganggap DAP dan PKR sebagai rakan, Pas tidak berbuat demikian secara terbuka sebagaimana DAP membesarkan isu kehadiran Tuan Guru meskipun Pas tidak pernah berkenan dengan cadangan menggantikan Abdul Khalid.

Masalah yang melanda PR ialah keputusan dibuat tanpa konsensus, kemudian parti komponen yang lain dipaksa ‘endorse’ keputusan itu demi muafakat bersama.

Isu ‘memaksa konsensus’ ini perlu diselesaikan terlebih dahulu sebelum tuduhan kononnya Pas tidak berpegang pada konsensus.

Hakikatnya, dalam krisis MB Selangor, tiada konsensus yang dicapai dalam Langkah Kajang sehinggalah keputusan untuk menghantar calon tunggal PR sebagai pengganti Abdul Khalid untuk dipertimbangkan istana.

Pas bertegas nak hantar dua nama sejak awal dan Wan Azizah salah seorangnya.

Apa yang terjadi selepas itu adalah tindakbalas kepada cara PKR dan DAP memaksa Pas untuk mempersetujui segala apa yang diputuskan antara PKR dan DAP – dalam erti kata lain, memaksa dalam mencapai konsensus.

Apakah DAP akan gembira selepas ini jika Tuan Guru hadir mesyuarat PR?

Apakah Tuan Guru tidak akan diserang melalui pelbagai saraf kalau beliau hadir mesyuarat tapi tetap berbeza pendapat dan enggan menjadi ‘rubber stamp’ DAP dan PKR dalam isu-isu tertentu?

Kehadiran Tuan Guru di dalam mesyuarat sebenarnya bukanlah isu dan tidak pernah menjadi isu.

Isunya ialah Tuan Guru berani untuk tidak bersetuju dengan keputusan yang dicapai antara DAP, PKR dan sebilangan pemimpin Pas dalam krisis MB Selangor, dan ini tidak menyenangkan DAP.

Itupun hanya sekali Tuan Guru tidak bersetuju. Kalau kerana itu DAP nak melenting, tak tahulah nak cakap apa.

Hakikatnya, apa yang dibuat DAP sekarang menyebabkan Umno gembira dan Pas kecewa.

Pas sering dimaki kerana fitnah ingin bersama Umno. Bagi mereka yang rasional, cuba fikir apa reaksi yang sepatutnya ada kepada tindakan DAP ini yang sedang menggembirakan Umno ini?

DAP sudah mengisytiharkan bahawa kalau Tuan Guru tak dapat hadir mesyuarat PR, DAP juga tidak akan menghadirinya.

Ok. Pernahkah DAP terfikir akan menjaga maruah Mohamad Sabu yang rajin hadir ke mesyuarat PR sebagai wakil Pas dan Tuan Guru tatkala presiden tidak dapat hadir dengan kenyataan tersebut?

Sudah hampir 4 tahun, Mohamad menjadi timbalan kepada Tuan Guru Tuan Guru Awang.

Takkan kerana isu satu calon tunggal MB Selangor yang tidak dipersetujui Tuan Guru, DAP terus mengganggap Mohamad sebagai seorang timbalan yang tidak berguna kerana kurang berkuasa - sehingga tidak mahu hadir ke mesyuarat PR yang dihadirinya tatkala Tuan Guru tidak dapat menghadirkan diri?

Yang menggunakan hujah bahawa PKR dan DAP tidak mengacau siapa calon MB di Kelantan dan Kedah yang ditadbir Pas dulu untuk memukul Tuan Guru, juga perlu sedar bahawa jika DAP ingin menukar Ketua Menteri di Pulau Pinang, Pas dan PKR juga tidak berupaya menghalangnya kerana DAP menguasai hampir 50 peratus kerusi Dun di Pulau Pinang.

Berbeza dengan Selangor. Ini negeri yang tidak dapat ditadbir Pas, PKR dan DAP jika mereka berasingan. Ini negeri yang perlu ditadbir bersama. Yang dipersetujui hanyalah ialah calon PKR menjadi MB Selangor, tapi ini tidak bermakna Pas dan DAP tiada suara untuk menentukan siapa dalam PKR yang patut menjadi MB Selangor.

Menurut kajian UMCedel, rakyat inginkan Pakatan Rakyat yang dapat bekerjasama dan terus kukuh sebagai alternatif kepada BN. Cubalah hormati hasrat rakyat ini dan kurangkan perbalahan sesama parti komponen PR.

Dan penghormatan ini perlu bermula daripada DAP berhenti menyerang Tuan Guru. Ini perlu kerana Pakatan Rakyat sebenarnya berfungsi dengan baik sehinggalah tercetusnya krisis MB Selangor.

Ya, krisis MB Selangor yang merosakkan kerjasama PR, dan bukannya Tuan Guru. Serangan pada Tuan Guru sekarang pula sedang merosakkannya.

Betul, bukan semua yang Tuan Guru buat itu betul kerana beliau hanyalah seorang manusia.

Tapi tindakan untuk menyalahkan seluruh masalah PR pada batang tubuh Tuan Guru sahaja kerana krisis MB Selangor, itu bukan sahaja sangat tak betul, malah berniat jahat kerana mereka yang mencetuskan krisis ini pula langsung tidak dikritik. Ini bukan sahaja berat sebelah, malah hipokrit namanya.

Kalau niatnya ialah untuk memastikan PR terus kukuh, carilah perkara yang membawa muafakat. Janganlah bersikap macam orang nak bercerai dengan mempertikaikan perkara yang membina jurang persahabatan.

Melainkan ada parti yang merasa dengan menyerang Pas dan Umno, ia dapat membantu peluangnya untuk meningkat kerusi di PRN Sarawak dan juga PRU14? Senyum sajalah kalau begitu.

No comments:

Popular Posts