>> 5 Terkini :

Sunday 16 November 2014

Artikal 121(1A) jelas menghalang mahkamah sivil mencampuri bidang kuasa mahkamah syariah

Mahkamah sivil tidak boleh mencampuri bidang kuasa mahkamah syariah - Jakim


KUANTAN: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mahu semua pihak menghormati Artikel121 (1A) Perlembagaan Persekutuan yang dengan jelas menghalang mahkamah sivil mencampuri bidang kuasa mahkamah syariah.

Ketua Pengarah Jakim Datuk Othman Mustapha berkata, kegagalan mematuhi peruntukan berkenaan boleh menimbulkan kekeliruan dalam masyarakat apabila sesuatu keputusan mahkamah dibuat.

"Peruntukan mengenai perkara ini sudah jelas.... sudah ada dan mahkamah lain tidak boleh membincang atau membicarakan hal berkaitan hukum syarak. Namun, oleh kerana ia sudah dimohon, kita tunggulah rayuan dibuat oleh Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS).

"Seperti Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom kata sebelum ini, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan dan dari negeri lain akan mencelah dalam prosiding rayuan itu nanti," katanya ketika ditemui selepas merasmikan Ihtifal Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) Peringkat Kebangsaan di sini, semalam.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas keputusan Mahkamah Rayuan, Jumaat lalu yang mengisytiharkan Seksyen 66 Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Sembilan) 1992adalah tidak sah di sisi Perlembagaan kerana ia mendiskriminasi lelaki Islam yang menghidapi keadaan dikenali masalah identiti gender (GID) dari segi perubatan.

Othman berkata, keputusan mahkamah itu dibimbangi akan mengundang kecelaruan dalam kalangan masyarat dan ia sepatutnya tidak berlaku kerana hukum mengenainya sudah jelas.

"Kita tunggu pihak berkenaan mengambil tindakan sewajarnya dan meminta semua Majlis Agama Islam Negeri bersama-sama dalam hal ini. MAINS akan mengemukakan rayuan kepada mahkamah persekutuan dan kita akan tunggu keputusan rayuan itu.

"JAKIM juga mempunyai jawatankuasa teknikal yang dianggotai oleh Majlis Agama Islam Negeri dan Jabatan Agama Islam Negeri... jawatankuasa ini akan melihat kepentingan atau penyelarasan antara undang-undang syarak dan sivil. Jika ada kekurangan dalam undang-undang itu, kita akan bincangkan dalam jawatankuasa berkenaan," katanya.

Sementara itu, dalam ucapan perasmiannya, Othman berkata, kerajaan akan terus memperkasakan pendidikan Islam di negara ini dan menyediakan pelbagai latihan bagi meningkatkan kecemerlangan Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA).

Katanya, penubuhan Lembaga Penasihat Penyelarasan Pelajaran dan Pendidikan Agama Islam adalah antara usaha kerajaan bagi menjadikan KAFA lebih kompetetif sejajar Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia 2013-2025.

No comments:

Popular Posts