>> 5 Terkini :

Tuesday 28 October 2014

Merungkai dan memahami apa krisis yang sedang berlaku dalam PAS


MEMAHAMI KRISIS DALAM PAS

1. Setiap organisasi tidak terlepas dari sebarang krisis. Begitu juga PAS sejak dari penubuhannya. Bezanya, krisis kali ini adalah krisis besar selepas krisis melibatkan Dato' Asri.

2. Krisis ini berbeza dengan krisis dalaman UMNO yang berlaku melibatkan personaliti. Krisis ini melibatkan perbezaan jalur pemikiran dalam PAS.

3. Mana-mana parti di dunia berlalu pertembungan antara pihak Konservatif yang dianggap Sayap Kanan, pihak Moderate dan juga pihak yang dianggap sayap kiri dengan mengambil pendekatan liberal yang ekstrim.

4. Fenomena ini bukan hanya berlaku dalam PAS bahkan juga berlaku di seluruh dunia. Hamas, AKP dan Saadat, Ikhwan, Jamaah Islami dan lain-lain.

5. Di UK, Tony Blair menubuhkan New Labour Party disebabkan krisis yang berlaku melibatkan golongan konservatif dan moderate yang dilihat pihak konservatif menghalang peluang kemenangan. Hasilnya, Parti Labour yang baru menang tiga kali berturut-turut. Parti Labour yang lama merasakan tidak menang pun tidak menjadi masalah asalkan ajaran Karl Max dapat dipertahankan.

6. Krisis dalam PAS berlaku apabila masing-masing mempunyai pandangan berbeza dari sudut kemana PAS perlu dibawa dan cara bagaimana.

7. Sebahagian memikirkan satu pihak melambatkan kemenangan sedangkan PAS seharusnya bersifat Rahmat Untuk Sekelian Alam. Manakala sebahagian lagi menganggap pihak lain telah mengadai prinsip asas (asolah) perjuangan PAS semata-mata untuk mencapai kemenangan.

8. Krisis ini ketara di permulaan penubuhan kerajaan PR dan smakin teruk selepas krisis MB Selangor. Kesannya, PAS berpecah kepada dua aliran pemikiran, Berlaku sabotaj sesama ahli, tiada rasa ukhuwwah dan akhirnya hilang fokus kepada matlamat perjuangan.

PUNCA UTAMA KRISIS

9. Pada pengamatan penulis terdapat 3 Punca utama krisis ini berlaku (A) Perselisihan fikrah dan pandangan (B) Persaingan kumpulan, dan (C) Pengaruh negatif.


(A) PERSELISIHAN FIKRAH DAN PANDANGAN

10. Perselisihan fikrah biasa berlaku dalam mana-mana organisasi. Bahkan dalam mazhab-mazhab jugaberlaku. Apa yang lebih penting perselisihan ini ditangani supaya tidak membarah dan berlaku perpecahan.

11. Perbezaan pandangan dalam PAS berlaku dalam 3 perkara yang besar iaitu (1) Taadud Jamaah (2) Tahaluf Siyasi (3) Perbezaan Pendekatan Dakwah

12. (1) TAADUD JAMAAH. Isu ini merupakan barah dalam parti dan berlaku sejak 80an yang mana pada masa itu banyak jamaah yang timbul dan mencabar PAS sebagai gerakkan Islam. Topik ini menjadi penting dalam silibus tarbiyah kampus semasa itu. Menolak jamaah lain selain PAS merupakan pendirian PAS. Ahli jamaah lain yang ada dalam PAS dianggap menyusup masuk untuk kuasai PAS.

13. (2) TAHALUF SIYASI. Walaupun dipertegas oleh Muktamar dan pimpinan PAS, tapi masih ada pimpinan di peringkat pertengahan dan bawahan masih belum menerima pendekatan ini. Banyak insiden yang berlaku di mana ada yang cuba mengelak untuk bekerjasama dengan parti komponan lain.

14. Sebelum PRU Ke-12, tidak ada Kerjasama PR sebagaimana hari ini. Persetujuan hanyalah setiap parti mesti mengelakkan pertembungan antara satu sama lain dan perlawanan mestilah satu lawan satu dengan BN. Kerjasama pada masa itu dibuat melalui gerakkan BERSIH.

15. Selepas PRU12 barulah didapati kerajaan boleh ditubuhkan dengan kerjasama PAS, DAP dan PKR. Dalam masa yang sama, UMNO membuat tawaran kepada PAS untuk menubuhkan kerajaan bersama.

16. Ini bermakna ada dua pilihan terbuka kepada PAS pada masa itu samada untuk membentuk kerajaan bersama UMNO atau membuat kerjasama dengan DAP dan PKR. Akhirnya Keputusan dibuat ialah untuk terus bersama DAP dan PKR dengan membentuk Pakatan Rakyat.

17. Dalam masa sama ada pimpinan yang masih cuba menerokai pilihan untuk bersama dengan UMNO seperti Hassan Ali dan beberapa pimpinan-pimpinan tertinggi PAS. Tindakkan ini terbawa-bawa sehingga ada maklumat diterima dari UMNO mengesahkan ada kerjasama dibuat untuk memastikan pimpinan tertentu menang dalam pemilihan PAS.

18. (3) PERBEZAAN PENDEKATAN DAKWAH. Satu pihak dengan gaya yang konservatif dan satu pihak lagi mengambil jalan yang wasatiyyah atau moderate khususnya dalam perkara yang sekian lama menjadi dasar perjuangan PAS.

19. Sebagai contoh dalam isu Hudud. Satu pihak berpendirian perlu untuk dilaksanakan hari ini juga manakala satu pihak lagi merasakan perlu kepada persediaan dan keadaan yang sesuai sebelum Hudud dapat dilaksanakan berdasarkan kekuatan sedia ada dari segi penguasaan di peringkat Kerajaan Pusat dan Negeri. Perselisihan ini kecil tetapi disebabkan banyak isu sampingan yang lain telah menjadikan isu ini diperbesarkan.

20. Contoh lain ialah dalam Isu kalimah Allah dan isu non-muslim membaca Al-Quran. UMNO tahu bahawa berlaku pertembungan dalaman PAS dalam isu ini menyebabkan UMNO sentiasa memastikan isu ini dihidupkan setiap masa agar perselisihan sentiasa berlaku dalam PAS.

(B) PERSAINGAN KUMPULAN DALAM PEMILIHAN

21. Ini juga merupakan punca penting. Sebahagian kumpulan agamawan dalam parti rasa terpinggir dalam pembentukan kerajaan.

22. Penulisan Bridged Welsh pengkaji PAS dari Singapura antara lain menulis, pemain utama dalam PAS yang terlibat dalam Kerajaan PR adalah mereka yang bukan dikalangan Ulama dan mereka mempunyai skill yang diperlukan untuk membentuk kerajaan.

23. Delegasi parti dalam Muktamar sedar akan hal ini menyebabkan ramai pimpinan yang tidak berpendidikan pengajian Islam menang dalam pemilihan parti.

24. Dalam keadaan ini, kumpulan yang dianggap agamawan pula takut dipinggirkan dan dalam pemilihan Muktamar 2013 mereka telah membuat percaturan dan penyusunan lebih awal untuk bangkit dan lawan semula. Inilah apa yang berlaku dalam Muktamar 2014 baru-baru ini.

25. PAS membawa idealisme Islam tetapi lahir dari parti Sekular UMNO. Tetapi apabila menghampiri kuasa pemerintahan, cabaran skarang ini adalah pengisian dan peranan sebagai kerajaan.

26. Keperluan PAS pada waktu ini adalah untuk mengisi kemenangan menyebabkan siapa yang ada bakat yang diperlukan akan lebih terkehadapan. Inilah menyebabkan sebahagian asatizah dan ulama rasa terpinggir.

27. Ahli-ahli PAS mestilah memastikan Ulamadan asatizah tidak rasa terpinggir dengan memastikan mereka juga diberikan peranan sewajarnya dalam struktur Kerajaan.

28. Ahli-ahli ketika ini secara semulajadi merasakan bahawa ahli-ahli yang ada pengetahuan mentadbir perlu diketengahkan. Dalam keadaan ini ramai ulama dan asatizah tidak sedar akan hal ini. Mereka sebelumnya dianggap sebagai golongan pemimpin di pelbagai peringkat dan apabila mereka rasa terpinggir maka keadaan ini tidak boleh diterima. Contohnya apabila seorang dilantik sebagai exco agama, bagaimana pula yang lain boleh diposisikan?.

29. Persaingan lain yang lebih kecil diperingkat negeri dan kawasan juga boleh membarah. Contohnya di Kelantan berlaku persaingan sejak akhir 90an lagi di antara Nik Abduh dan Dato Husam. Krisis ini terevolusi dan merebak sehingga ke peringkat nasional. Segelintir pimpinan di luar Kelantan telah membentuk kesepakatam semasa krisis 2008 untuk menyerang Dato Husam. Maka Timbulah blog anti husam. Akar dari masalah ini adalah perselisihan Nik Abduh dan Dato Husam. Di Kedah juga berlaku krisis apabila membentuk kerajaan yang sebabkan lahirnya dua fraksi.


(C) PENGARUH NEGATIF

30. Sifat mazmumah juga menjadi pemangkin kepada krisis hari ini yang menyebabkan perselisihan menjadi smakin besar dan buruk. Ini berlaku disebabkan kegagalan Tarbiyyah dalam Parti. Akhlak ahli tidak mencapai akhlak jamaah Islam yang sepatutnya.

31. Hal ini ditambah pula kegagalan sistem dalaman Parti khasnya Jawatankuasa Disiplin langsung tidak beroperasi dengan baik. Ini menyebabkan keadaan menjadi semakin kucar kacir dan membarah.

32. Kesannya, buruk sangka semakin menebal di kalangan ahli . Ahli-ahli mengambil berita-berita yang disebar walaupun tidak ada asas. Sebahagiannya suka mendengar dan menyebarkan teori-teori konspirasi.

33. Sebagai contoh dalam Krisis MB ini, ada ahli yang menyebarkan teori bahawa anwar akan lari disebabkan mendapat suaka politik yang mana Anwar akan membawa demonstran dari Thailand ke Malaysia.

34. Ada juga yang menyebarkan teori bahawa Anwar menandatangani perjanjian dengan Najib untuk menyerahkan Selangor kepada BN sekiranya Wan Azizah dipilih sebagai MB.

35. Kedua-tua teori konspirasi yang mengarut ini setelah diselidik berpunca dari maklumat yang disampaikan oleh pihak Cawangan Khas dan telah berlegar di sekitar individu-individu yang dilihat menjadi sumber maklumat Presiden.

36. Ahli-ahli pada ketika ini sudah tidak dapat lagi membezakan berita yang dicipta oleh UMNO dan berlaku serang menyerang sesama sendiri.


BERGERAK KEHADAPAN

37. Ahli-ahli pada ketika ini perlu menjadikan Tabayun sebagai budaya yang penting. Apa sahaja maklumat yang sampai perlu dipastikan sumbernya walaupun maklumat itu selari dengan pendirian sendiri.

38. Tidak perlulah membuat provokasi dan terlibat dengan perbahasan di Facebook dan Whatsapp yang tidak kemana pun. Yang dapat hanyalah rasa marah dan rasa permusuhan.

39. Tidak perlu menyebar maklumat negatif walaupun kita yakini berita itu benar.

40. Isytiharkan Provokator sebagai musuh utama PAS dan musuh dalam selimut. Saya yakin musuh lebih selesa bergerak dengan cara yang demikian. Kadang-kadang mereka mempamirkan diri ahli yang prihatin dengan halatuju PAS dan mula membuat serangan-serangan kepada pimpinan PAS.

Abu Yusuf At Tantawi
----------------------------------

Antara tulisan Bridget Welsh http://bridgetwelsh.com/2014/09/pas-reactionaries-strike-back/

No comments:

Popular Posts